Kami, guru-guru Malaysia yakin bahawa tujuan pendidikan ialah berusaha menuju ke arah pembentukan warganegara yang berilmu, yang taat setia, yang bertanggungjawab dan berkebolehan, yang menyedari betapa pentingnya usaha menuju ke arah kebenaran dan ke arah pencapaian yang gemilang, dan yang percaya demokrasi, kebebasan perseorangan dan prinsip-prinsip Rukun Negara.
Melalui pendidikan, masyarakat dapat membantu anak mudanya memahami kebudayaan mereka, memperolehi pengetahuan yang telah terkumpul sejak zaman berzaman, dan menyediakan mereka untuk menghadapi cabaran pada masa hadapan.
Dengan menyedari betapa besarnya tanggungjawab membimbing anak muda untuk mencapai kemajuan sepenuh-penuhnya, maka dengan ini kami menerima Tatasusila berikut sebagai panduan untuk membolehkan kami menyempurnakan profesion kami ke taraf kesusilaan yang setinggi-tingginya.
A. TANGGUNGJAWAB TERHADAP PELAJAR
1. Lebih mengutamakan kebaikan dan keselamatan pelajar kami daripada hal-hal lain.
2. Bersikap adil terhadap setiap orang pelajar tanpa mengira faktor-faktor jasmani, mental, emosi, politik, ekonomi, sosial, keturunan atau agama.
3. Merahsiakan maklumat ihktisas atau sulit mengenai pelajar kecuali kepada mereka yang berhak mengetahui.dalam darjah sendiri
4. Membimbing atau mengajar seseorang pelajar dalam darjah sendiri atau dalam mata pelajaran-mata pelajaran yang diajar di bilik tanpa sebarang bayaran
5. Menunjukkan suatu cara pakaian, pertuturan dan tingkah laku yang dapat memberikan contoh yang baik kepada pelajar
6. Memelihara dan memperbaiki kecekapan ikhtisas melalui pengkajian, penyelidikan, lawatan dan menghadiri kursus ikhtisas, persidangan, mesyuarat atau seminar supaya pengajaran kami mencapai mutu yang setinggi-tingginya.
B. TANGGUNGJAWAB TERHADAP IBU BAPA
1. Menghormati tanggungjawab utama ibu bapa terhadap anak-anak mereka.
2. Berusaha mewujudkan hubungan mesra dan kerjasama yang erat di antara institusi pendidikan dengan rumah tangga
3. Menganggap semua maklumat yang diberikan oleh ibu bapa mengenai keadaan rumah tangga atau mengenai anak-anak mereka sebagai sulit dan tidak akan membocorkannya kepada sesiapa kecuali kepada mereka yang berhak mengetahuinya.
4. Memberikan maklumat kepada ibu bapa demi kepentingan anak-anak mereka, dan menggunakan maklumat yang diterima daripada ibu bapa secara teliti dan bijaksana.
5. Mengelakkan diri daripada menggunakan atau dipengaruhi oleh kedudukan sosial dan ekonomi ibu bapa pelajar.
6. Mengelakkan diri daripada mengeluarkan kata-kata atau melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan kepercayaan pelajar terhadap ibu bapa atau penjaga mereka.
C. TANGGUNGJAWAB TERHADAP MASYARAKAT DAN NEGARA
1. Mengelakkan diri daripada menyebarkan sesuatu ajaran yang boleh merosakkan kepentingan pelajar, masyarakat atau negara atau pun yang bertentangan dengan Rukun Negara
2. Memupuk dalam diri setiap pelajar sikap dan nilai yang boleh membantu dan membimbing mereka untuk menjadi warganegara yang taat setia, bertanggungjawab dan bergunja, menghormati orang tua dan menghormati adanya perbezaan kebudayaan, keturunan dan agama
3. Menghormati masyarakat tempat kami berkhidmat dan memenuhi segala tanggungjawab sebagai seorang warganegara dan sentiasa sanggup mengambil bahagian dalam sebarang kegiatan masyarakat
4. Menggalakkan kerjasama dan persefahaman di antara ibu bapa dan guru, institusi pendidikan dengan masyarakat
5. Memberikan sumbangan cergas untuk meninggikan kehidupan moral, kebudayaan dan kecendiakawan masyarakat
6. Berpegang kepada tingkahlaku yang sopan yang diterima oleh masyarakat dan menjalani kehidupan kami sehari-hari dengan baik.
D. TANGGUNGJAWAB TERHADAP RAKAN SEJAWAT DAN PROFESION PERGURUAN
1. Mengelakkan diri dari sebarang kenyataan atau ulasan yang boleh mencemarkan nama baik seseorang guru dihadapan pelajar atau ibu bapa, atau berbuat sesuatau yang boleh menjatuhkan maruah seorang guru.
2. Tidak melibatkan diri dalam kegiatan yang boleh menjejaskan kecekapan kami sebagai guru
3. Berusaha dengan sepenuh-penuhnya menunaikan tanggungjawab kami dengan rajin dan bersunggug-sungguh dan mengekalkannya sejajar dengan kemajuan ikhtisas dan sosial.
4. Sentiasa bersedia membantu rakan sejawat kami terutamanya mereka yang baru dalam profesion perguruan
5. Sentiasa mengawasi diri kami supaya tidak mencemarkan nama baik profesion perguruan
6. Akan menjadi ahli sesebuah pertubuhan guru.
No comments:
Post a Comment