Wednesday, January 4, 2012

sabar itu cantik...


MENARIK UNTUK DIKONGSI....

Hari-hari berjalan seperti biasa. Yang berbezanya cuma iman yang kadang-kadangnya naik dan kadang-kadangnya turun. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, aku melangkah menuju ke kelas. Sepertinya, rakan-rakan sebilikku yang lain masih sibuk mengemaskan diri. Ketika dalam perjalanan, aku terlihat seorang pelajar yang berkopiah, berselendang menutupi leher dan bahunya, berbaju kemeja yang tidak di selitkan ke dalam seluar slack yang disarungnya. Beliau sedang rancak berkomunikasi dengan sepasang kekasih di deret kaki lima. Pada pagi yang hening ini, memang tidak ramai pelajar yang lalu lalang.

Bukannya mereka sengaja lambat ke kelas, tetapi aku memang suka pergi awal.
Aku terdengar perbualan mereka dari jauh. Si lelaki dari pasangan tersebut bersuara, “Kau tak payah nak ceramah kitorang la. Banyak lagi ‘couple’ di kampus ini. Kenapa kitorang juga yang kau ‘aim’?”
Pelajar berkopiah itu menjawab, “Maafkanku. Aku lihat kamu berdua berpegangan tangan. Aku wajib menegur! Tidak kira siapa. Jika pasangan lain yang bukan mahram selain kalian yang aku nampak. Aku juga wajib menegur. Jika tidak aku berdosa!”

Lelaki itu mengambil kopiah yang dipakai oleh pelajar tersebut lalu mencampakannya ke lantai lantas berkata dengan muka merah padam,”Sudahlah! Jangan ingat dengan kopiah ni kau boleh tegur orang sesuka hati. Cerminlah diri sikit. Kau ingat kau bagus ke?! Blah la!”
Pelajar itu mengambil semula kopiahnya dengan sopan. Membersihkan kopiah tersebut dari habuk-habuk lantai lalu menyarungkan ke kepalanya semula seraya berkata, “Ya, aku memang tidak bagus. Aku pun bukannya yang paling baik di kampus ini. Sebab itulah aku menegur kalian supaya aku dapat jadi baik di mata Allah.”

Lelaki itu masih tidak dapat menahan nafsu amarahnya lalu meludah muka pelajar berkopiah tersebut lalu beredar dengan lajunya. MasyaAllah! Aku sangat terkejut dengan kejadian itu. Bukan kerana perbuatan lelaki tersebut yang biadab tetapi kesabaran pelajar berkopiah itu. Aku mengampirinya yang sedang membasuh muka.

 

“Assalamualaikum,” aku menyapa.
“Waalaikumussalam,” dia menjawab.
“Aku baru terlihat kejadian tadi. Mengapa kau tidak membalas perbuatan dia. Biadap sungguh lelaki itu!” Aku mulakan muqadimah.
“Tidak mengapalah. Aku sudah terbiasa dengan perkara sebegini. Tetapi rasanya ini lebih teruk kot. Aku memang rasa nak naik tangan ni. Tetapi tidak mengapalah. Hehe!” Jawab dia tersenyum.

Masih mampu dia tersenyum, walhal kejadian tadi baru sahaja berlaku beberapa minit yang lepas. Mentaliti kebanyakan manusia tidak mampu tersenyum dengan kejadian yang memalukan diri walaupun untuk sebulan lamanya. Aku berkata, “Kau masih suka-suka lagi walaupun muka kau baru sahaja diludah? Pelik sungguh.”
“Aku tidak mahu fikirkan sangat soal kejadian tadi. Mungkin ini adalah ujian buat diriku apabila mahu berdakwah. Allah mahu menguji imanku sesuai dalam maksud firmannya dalam surah Al-Ankabut ayat ke-2 yang berbunyi ‘Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan dengan berkata ‘Aku beriman!’ sedangkan mereka tidak diuji?’” Dia berkata sambil menyelitkan firman Allah S.W.T.
“Tetapi, bukankah kesabaran itu ada batasnya? Kita tidak boleh sentiasa bersabar sehingga orang memijak kita,” aku membalas.
“Oh, begitu pandangan kau. Tetapi aku lebih suka bersabar selagi mampu. Entahlah. Aku rasa susah mahu marah kepada orang yang mencemuh atau menghinaku. Tetapi percayalah kepadaku, kita bersabar orang semakin suka dengan kita, bukan semakin memijak kita,” kata pelajar berkopiah itu sambil menepuk bahuku.
“Eh, macam itu pula. How come?” Aku terpinga-pinga dengan kenyataan yang dikeluarkan olehnya.
“Kau kena yakin dengan ayat Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 153 yang bermaksud, ‘Wahai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan Allah dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah bersama-sama dengan orang yang sabar.’ Kau kena yakin dengan ayat ini. Bukankah, beriman kepada kitab itu salah satu dari rukun iman?” katanya lagi sambil tersenyum.

Aku terkesima dengan hujahnya yang sentiasa ada nas-nas daripada Al-Quran. Aku berkata, “Ya, kau benar. Allah bersama dengan orang yang sabar, dengan itu Allah akan melembutkan hati orang yang cuba memijak kita. Kadang-kadang aku berasa susah untuk menahan kesabaran. Lebih-lebih lagi jika pasal kejadian tadi. Walaupun aku tidak berada di tempat kau, aku rasa mahu mengajar lelaki tersebut.”
“Cubalah jadikan cemuhan atau hinaan itu sebagai usaha untuk menyucikan jiwa kau.”
“Menyucikan jiwa? Bagaimana itu?”
Husnu Zhan. Positive thingking. Bersangka baik. Jika orang lain cuba mengkrtik pandangan kau, ambillah ia sebagai alat untuk memperbaikkan lagi pandangan kau. Jika ada orang mengata buruk pasal sikap kau, jadikanlah ia sesuatu untuk mengubah sikap kau jadi lebih baik. Jika orang mencemuh atau menghina atau meludah kau, katakanlah pada hati kau bahawa ini semua ujian daripada Allah. Bersangka baiklah terhadap-Nya. Ada satu hadith qudsi yang berbunyi, ‘Allah berfirman: Aku adalah berdasarkan sangkaan hambaKu terhadapKu dan Aku bersama mereka apabila mereka mengingatiku (HR Muslim)’”
“Jadi, dengan cara itulah kau dapat membina kesabaran kau. Tidakku sangka, masih ada orang seperti kau. Hebat! Aku kagum! Pasti banyak ujian-ujian berat yang kau hadapi, bukan?”
“Eh, tidaklah. Biasa-biasa sahaja. Janganlah memuji aku berlebihan. Dalam surah al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud, ‘Allah tidak akan membebani seseorang sesuai dengan kesanggupannya.’ Jadi setiap orang mengalami ujian yang berbeza-beza bergantung kepada tahap iman masing-masing,” jawab dia dengan tawadhuk.
“Oh, aku sudah faham. Terima kasih untuk tazkirah kau walaupun singkat tetapi sungguh bermakna. Dari ujian terbinanya kesabaran. Dari kesabaran terbinanya iman,” aku berkata sambil tersenyum ke arahnya.
“Benar, saudaraku. Apabila kesabaran kau sampai di suatu tahap, kau akan sentiasa tersenyum tatkala orang lain mencemuh, marah dan menghina kau. Saat itu dapatlah kau rasa kemanisan iman dari kesabaran. Sabar itu cantik, bukan?”

 
*******
Wallahua’alam~
Artikel ini ditulis oleh saudara Khalifah Prince.

No comments:

Post a Comment