Tuesday, January 31, 2012

SOROTAN PERISTIWA 2011

Sorotan Peristiwa 2011
1-Gempa Bumi Di Jepun.
Paparan peristiwa penting tahun 2011 dimulakan dengan kejadian gempa bumi yang melanda Jepun. Gempa dengan kekuatan 8.9 pada Skala Richter merupakan yang paling buruk berlaku di Jepun dalam tempoh 140 tahun. Akibat kekuatan gempa ini telah berlaku kejadian Tsunami yang bukan sahaja memusnahkan harta benda dan kerosakan awam tetapi juga telah melumpuhkan sistem pentadbiran Jepun secara keseluruhannya. Kejadian ini juga mengakibatkan loji nuklear di Sendai, Timur Laut Jepun mengalami kebocoran radioaktif dan ia menimbulkan kebimbangan penduduk tempatan dan dunia terutama di bahagian Asia akan kejadian pencemaran radiasi. Terdapat juga khabar angin yang menyatakan jangkitan radiasi telah berlaku terhadap produk-produk makanan terutama makanan laut daripada Jepun dan ia menimbulkan panik terhadap perusahaan makanan di Jepun oleh kalangan penduduk tempatan dan penduduk dunia.
2-Demonstrasi Di London.
Demonstrasi yang berlaku di London merupakan satu lagi peristiwa bersejarah yang berlaku pada tahun 2011. Ia bermula di kota London dan kemudian merebak sekitar Birmingham, Bristol dan Liverpool. Demonstarsi ini terjadi ekoran tindakan polis menembak mati seorang pemuda berumur 29 tahun dalam keadaan berbalas tembakan.
Demonstrasi ini juga telah menyebabkan salah seorang pelajar Malaysia di sana, Asyraf Haziq Rosli, 20 tahun cedera akibat ditumbuk dan dipukul oleh orang yang tidak dikenali. Lebih malang lagi untuk pelajar berkenaan, dalam keadaan cedera dia telah dirompak tanpa mampu melakukan apa-apa. Kejadian ini telah dirakam dan tersebar di laman video popular Youtube, lalu mendapat perhatian banyak pihak daripada seluruh dunia. Perdana Menteri Britain, David Cameron telah menyampaikan permohonan maaf terhadap apa yang berlaku kepada pelajar berkenaan.
3-Kebangkitan Di Timur Tengah.
Tahun 2011 juga menyaksikan kebangkitan di Timur Tengah akibat rakyat yang tidak berpuashati dengan pemerintahan di negara-negara terlibat. Dikenali juga sebagai Arab Spring, ia bermula di Tunisia diikuti Mesir dan Syria. Yang paling popular dan dikenali, Hosni Mubarak yang telah memerintah Mesir secara diktator selama 30 tahun akhirnya meletakkan jawatan atas desakan yang dibuat oleh rakyat. Demonstrasi ini juga telah mengakibatkan industri pelancongan dan ekonomi Mesir lumpuh.

4-Kematian Muammar Gaddafi.
Seorang lagi pemimpin diktator yang dikenali ramai, Muammar Gaddafi telah digulingkan dalam penentangan berdarah yang berlaku di Libya. Kolonel Muammar Abu Minyar al-Gaddafi telah dilahirkan pada 1942 dan merupakan presiden yang memerintah Libya semenjak 1969. Berasal daripada keluarga petani, Muammar Gadaffi menerima pendidikan rendah agama dan sekolah persediaan Sebha di Fezzan. Daripada sinilah Gadaffi mengasaskan kumpulan revolusi untuk merampas kepimpinan negara Libya. Menjadikan peritiwa Presiden Gamal Abdel Nasser di Mesir menjatuhkan kerajaan monarki sebagai inspirasi, Gadaffi telah memulakan aktiviti politiknya secara aktif. Mendapat gelaran sebagai “Pemimpin Besar Dan Pengasas Revolusi” pada peringkat awal pemerintahannya, Gadaffi telah memansuhkan sistem kerajaan beraja di Libya.
Terdapat pelbagai versi cerita mengenai kerajaan yang diperintah oleh Gadaffi ini. Pemerintahan Gadaffi sering melaungkan yang Libya adalah diperintah oleh rakyat dan monopolinya terhadap kuasa politik tidak melampau dan tidak zalim seperti diktator lain. Dikalangan negara barat dan Amerika beliau dikenali dengan kelantangan suaranya dalam memperjuangkan isu hak dan keadilan serta mengkritik pimpinan barat kerana isu diskriminasi terhadap Islam. Ini menjadikan Barat terkadang tidak selesa dengan pemimpin negara pengeluar minyak di Utara Afrika ini.
Gadaffi akhirnya mati di tempat kelahirannya sendiri di bandar Sirte. Beliau dibunuh dengan kejam dan dimalukan oleh mereka yang membencinya. Mayatnya diarak dan dipamerkan kepada seluruh rakyat Libya sebelum dikebumikan di tempat yang dirahsiakan.
5-Perkahwinan Diraja British.
Satu lagi peristiwa bersejarah pada tahun 2011 adalah apabila Putera William melangsungkan perkahwinan diraja bersama pasangannya Kate middleton. Perkahwinan pasangan diraja ini mendapat liputan meluas media diseluruh dunia. Putera William merupakan anak kepada mendiang Puteri Diana bersama Putera Charles. Setelah perkahwinan itu, mereka dikurniakan gelaran Duke of Cambridge dan Duchess of Cambridge masing-masing untuk putera Williams dan Kate middleton. Selain itu putera William juga dikurniakan gelaran Earl of Strathearn dan Baron Carrickfergus. Antara yang dijemput hadir ke majlis tersebut ialah Yang Dipertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

6-Malaysia Airlines Dan Air Asia Bekerjasama.
Isu dan topik syarikat penerbangan kebangsaan, Malaysia Airlines System Berhad (MAS) terus menjadi antara topik yang hangat diperkatakan pada 2011. Lebih mengejutkan apabila syarikat penerbangan kebangsaan mengumumkan akan bekerjasama dengan syarikat penerbangan tambang murah, Air Asia. Perkara ini berlaku apabila Khazanah Nasional, pemilik saham terbesar dalam Malaysia Airlines membenarkan sebanyak 20.5 peratus sahamnya dimiliki oleh Tan Sri Tony Fernandes dan juga Dato Kamarudin Meranun melalui syarikat Tune Air Berhad. Kemudian telah dibentangkan Rangka Kerja Kolaborasi Komprehensif (CCF) bagi menyelaras tindakan yang akan membolehkan kedua-dua gergasi penerbangan ini bekerjasama dari segi logistik dan strategik.
Perkara ini telah menimbulkan kontroversi dan menjadi isu hangat apabila dikatakan terdapat penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa ketika semua proses ini berlaku. Banyak lagi yang saya ingin tulis mengenai topik ini, namun saya bukan dalam kapasiti yang dibenarkan kerana saya merupakan salah seorang kakitangan syarikat berkenaan. Mungkin satu masa saya akan menceritakan daripada perspektif saya sendiri mengenai aspek pengurusan dan kepimpinan di Malaysia Airlines itu sendiri.
8-Tuduhan Rasuah Terhadap Dato’ Seri Dr Khir toyo.
Isu rasuah melibatkan mantan Menteri Besar Selangor, Dato Seri Dr Khir Toyo menjadi antara topik yang menjadi perhatian ramai kerana ia dianggap sebagai kes berprofile tinggi membabitkan kenamaan negara. Mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara selama setahun selepas beliau didapati bersalah atas tuduhan mendapatkan untuk beliau dan isterinya dua lot tanah dan sebuah banglo bernilai RM6.5 juta dengan harga RM3.5 juta, empat tahun lalu. Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki yang memutuskan hukuman itu turut mengarahkan perlucutan hak terhadap hartanah tersebut. Kes ini turut mengundang kontroversi kerana Dato’ Seri Dr Khir Toyo merupakan Menteri Besar dan mempunyai kepentingan ketika membeli hartanah terbabit.
9-Pasukan Bola Sepak Malaysia cemerlang di Sukan Sea.
Detik manis dicipta pada 2011 kerana kejayaan skuad bola sepak memenangi pingat emas di Sukan Sea Jakarta, Indonesia sekaligus mempertahankan emas pada Sukan Sea yang lalu. Menariknya pertandingan adalah melibatkan pasukan Indonesia yang merupakan tuan rumah pada acara berkenaan. Dengan sokongan padu lebih 100 ribu penyokong Indonesia di Stadium Gelora Bong Karno, seolah rahmat dan rezeki untuk Malaysia apabila anak buah Ong Kim Swee disuntik semangat dan begitu yakin diri bagi mempertahankan kejuaraan dimana ia merupakan detik yang sangat berharga dalam sejarah bola sepak tanah air.
10-Kematian Presiden Korea Utara, Kim Jong Il.
Tahun 2011 diakhiri dengan kematian Presiden Korea Utara, Kim Jong Il. Serangan jantung dikenalpasti punca yang menyebabkan kematiannya pada usia 69 tahun. Amat dikenali dengan program senjata nuklearnya sewaktu pemerintahan, Jong-Il mencuri tumpuan dunia apabila cuba bangkit untuk menjadi kuasa dunia baru melalui program persenjataannya.
Ketika menjadi Presiden Korea Utara pada awal dan lewat 1990-an, beliau menyaksikan ratusan ribu rakyatnya maut akibat kebuluran, dan masalah kekurangan makanan berterusan sehingga ke hari ini dan adalah dianggarkan satu pertiga daripada kanak-kanak Korea Utara terbantut tumbesarannya akibat kekurangan zat makanan. Kebanyakan peruntukan kewangan disalurkan untuk pembangunan program ketenteraan dan menguatkan barisan pertahanan kerajaan. Beliau telah menemui sumber untuk meneruskan program senjata nuklear yang berkesudahan dengan ujian letupan nuklear pada Oktober 2006 dan Mei 2009. Anak lelaki bongsu Jong-Il, Kim Jong-Un akan mengisi kekosongan jawatan presiden seterusnya menjadi pemimpin dan pemerintah tinggi tentera di Korea Utara. 

No comments:

Post a Comment