Saturday, August 11, 2012

Kembara John Carter Di Planet Marikh


Kembara John Carter Di Planet Marikh
















TAJUK: John Carter
GENRE: Fiksyen Angkasa Lepas
PENGARAH: Andrew Stanton
PELAKON: Taylor Kitsch, Lynn Collins, Willem Dafoe, Thomas Haden Church, Samantha Morton, Ciaran Hindsm, Mark Strong
EDARAN: Walt Disney Pictures
Tayangan: Mulai 8 Mac 2012

Sekali Imbas
Sebuah filem yang diadaptasi dari novel A Princess of Mars oleh Edgar Rice Burroughs yang diterbitkan seratus dahulu, iaitu pada tahun 1912. Merupakan percubaan pertama pengarah Andrew Stanton untuk mengarahkan filem bercorak live-action selepas sebelum ini hanya dikenali dengan filem-filem animasi 3D seperti Finding Nemo dan WALL-E.

Ulasan Penuh
Hebat juga imaginasi orang-orang pada tahun 1912 rupanya. Bagaimana mereka mendapat ilham untuk menulis novel tentang apa yang berlaku sekiranya seorang lelaki bumi, tiba-tiba dapat merentas ruang angkasa dan muncul di Marikh. Kemudian berperang dengan makhluk-makhluk di sana. Menjadi wira dan kemudiannya diangkat menjadi raja?

Tapi bila difikirkan kembali, kerana imaginasi hebat mereka-mereka pada zaman terdahululah yang menyebabkan terciptanya kapal terbang, telefon, televisyen, radio, kereta dan pelbagai lagi kemudahan kita untuk hari ini. Dan imaginasi itu menyebabkan terhasilnya filem sehebat John Carter.

Kita sering bercakap tentang betapa hebatnya filem-filem sains fiksyen angkasa lepas lain seperti Star Wars, Avatar, Transformers dan pelbagai lagi filem-filem lain namun filem-filem ini ditulis pada era moden. Era pendedahan angkasa lepas telah didedahkan kepada minda kita. Telah mula diajar ke setiap peringkat pendidikan. Jadi boleh dikatakan imaginasi mereka-mereka yang terlibat dengan filem ini telah mendapat pendedahan dan kreativiti yang secukupnya.

Berbanding John Carter yang ditulis pada 1912, cara penyampaian yang menceritakan tentang bagaimana tamadun di Marikh dan kehidupan kelompok masyarakat di sana juga menjadi bukti yang Edgar Rice Burroughs (penulis novel) adalah seorang kreatif dan kerap berimaginasi.

Hasil penulisan Burroughs ini kemudiannya menjadi teras kepada produksi dari Paramount Pictures untuk membangunkan novel ini ke layar perak. Dengan bajet mencecah $250 juta (RM750 juta), John Carter adalah salah satu filem blockbuster yang seharusnya menjadi pilihan tahun ini.

Jalan ceritanya bagaimanapun mudah dibaca, heronya John Carter adalah seorang bekas askar, penduduk bumi yang secara tidak sengaja terjumpa gua yang menjadi pintu rahsia perjalanan bumi ke planet Marikh. Melalui gua itu, Carter kini mendapati dirinya berada di Barsoom, nama gelaran penduduk natif Marikh ke atas planet mereka.

Barsoom kini bergolak kerana peperangan dua tamadun terbesar di planet itu, Zodanga dan Helium yang mengejutkan penulis kerana penampilan mereka seiras manusia kecuali mereka berdarah biru. Carter pada asalnya menjadi tawanan puak Tharks (yang ini penampilan mereka betul seperti makhluk asing) namun keperwiraan Carter menyebabkan dia menjadi sanjungan puak tersebut.

Menariknya, kegagahan dan keperwiraan Carter adalah berpunca dari graviti, cuaca dan keadaan Marikh yang berlainan dengan Bumi. Di Marikh, Carter mempunyai kekuatana luar biasa (dia mampu membunuh seekor makhluk asing dengan satu tumbukan) serta kecergasan dan lompatan luar biasa (boleh melompat lebih tinggi bangunan 10 tingkat).

Faktor-faktor inilah menyebabkan John Carter menarik untuk ditonton. Penulis juga tertanya-tanya adakah ini menjadi ilham kepada asal usul adiwira Superman, yang diterbitkan melalui komik pada 1932 oleh Jerry Siegel dan Joe Shuster. Cuma bezanya, Clark Kent di planet asalnya hanya seorang normal namun apabila tiba di Bumi, dia mempunyai kuasa luar biasa. Manakala John Carter pula, di Bumi dia manusia biasa dan di Marikh dia mempunyai kekuatan luar biasa.

Keseluruhan, John Carter menghiburkan dengan aksi peperangan dan kesan khas yang menarik. Tidak mustahil untuk filem menjadi sebuah francais baru sehebat Star Wars atau Avatar kerana jika diikutkan novelnya, akan ada sambungan selepas ini.

Sipnosis

John Carter, seorang tentera berpangkat Kapten ketika Perang Saudara di Amerika pada penghujung dekat 1880-an telah kehilangan isteri dan anaknya dalam satu tragedi kebakaran. Kehilangan ini menyebabkan Carter berubah dan tidak mahu lagi terlibat dalam sebarang peperangan. Dia kini lebih gemar mencari kekayaan dan memburu emas.

Pencarian emas telah membawa Carter ke sebuah gua yang tanpa disedari, merupakan satu pintu khas yang boleh membawanya ke Marikh. Setibanya di Marikh, Carter mendapati dirinya mempunya kemampuan dan kekuatan luar biasa. Namun kerana masih belum dapat membiasakan diri, dia menjadi tawanan kaum Tharks.
Di luar pengetahuan Carter juga, dua komuniti terbesar di Marikh, Zodanga dan Helium sedang berperang. Puteri kerajaan Helium yang terlihat kemampuan luar biasa Carter, kemudiannya merancang untuk menggunakan Carter sebagai aset utamanya dalam memerangi peperangan ini.

Konflik yang berlaku menyebabkan Carter berbelah bahagi sama ada ingin mencari jalang pulang ke Bumi atau membantu Helium memerangi Zodanga kerana pada masa yang sama, dai telah jatuh hati dengan Puteri kerajaan Helium.


-cikguRazalina-

No comments:

Post a Comment