Saturday, August 11, 2012

Meneroka Misteri Angkasa Dalam Prometheus


Meneroka Misteri Angkasa Dalam Prometheus


TAJUK: Prometheus
GENRE: Sains Fiksyen
PENGARAH: Ridley Scott
PELAKON: Noomi Rapace, Michael Fassbender, Guy Pearce, Idris Elba, Logan Marshall-Green, Charlize Theron
EDARAN: 20th Century Fox
Tayangan: Mulai 7 Jun 2012

Sekali Imbas
Ridley Scott, pengarah yang kali terakhir muncul dengan karya Robin Hood pada tahun 2010, kembali kepada genre sains fiksyen yang telah menaikan namanya sebelum ini dengan karya Alien pada tahun 1979.
Publisiti meluas tentang kehebatan filem Prometheus ini menjadi petanda bahawa Ridley Scott masih mempunyai sentuhan berbisa terhadap filem bergenre sains fiksyen yang cukup digemari di Hollywood.

Ulasan Penuh
Sebuah filem yang agak menarik kerana menceritakan tentang kisah manusia yang cuba mencari asal usul pencipta. Mengembara sejauh jutaan batu dari planet asal bumi, semata-mata mencari jawapan yang mereka sendiri tidak pasti ada ataupun tidak.

Prometheus dicanang menjadi sebuah filem yang mempunyai kaitan dengan filem Alien. Namun sebaik sahaja bermulanya jalan cerita, anda mesti tertanya-tanya di mana kaitannya filem ini dengan makhluk asing pembunuh itu.

Prometheus memang menampilkan cerita yang berbeza dan lain daripada yang lain. Cuma sedikit kejutan di penghujung filem sahaja yang berjaya mengaitkan antara dua karya Ridley Scott ini.
Garapan plot cerita ini agak tersembunyi dari segenap sudut sehinggakan misterinya terungkai dengan kejutan yang mengagumkan.

Pada yang gemarkan aksi, ini bukan filem untuk anda. Penulis sendiri sedikit kecewa kerana mengharapkan filem ini penuh dengan aksi yang mencemaskan.
Namun selesai menonton, filem ini adalah lebih kepada drama pengembaraan sains fiksyen. Dialog dan konfrantasi antara watak lebih dominan dari aksi kejar mengejar yang sinonim dengan filem sains fiksyen lain.

Namun begitu, bagi penulis Prometheus tidaklah membosankan kerana setiap patah kata memang dinukil hebat untuk membuka setiap misteri dalam filem ini.
Menyentuh mengenai setiap watak dalam Promethues, penulis lebih tertumpu kepada watak David lakonan Michael Fassbender.

Watak David, sejenis android menyerupai manusia dikembangkan dengan kejutannya tersendiri. Charlize Theron sebagai Vickers juga sememangnya berjaya menarik perhatian penonton, sepadan dengan kejelitaan dan lakonannya yang kadangkala menimbulkan kebencian akibat misteri latar belakangnya.

Noomi Rapace sebagai Elizabeth Shaw dan Logan Marshall-Green sebagai Charlie Holloway pula memegang kunci kepada kewujudan makhluk Alien yang kita kenali.

CGI yang cantik dan kemas juga satu ciri hebat filem ini. Juga kehadiran makhluk asing (bukan Alien yang kita kenali) yang dijadikan bahan untuk membunuh beberapa karakter memang menjijikkan dan luar biasa.

Keseluruhan, filem ini memang sebuah kembara sains fiksyen yang hebat. Pengikut Ridley Scott yang sudah sebati dengan ideologi pengarah ini mungkin akan berpuas hati dengan karya terbarunya.

Jelas kelihatan usaha Ridley Scott untuk menjadikan filem Prometheus ini sebuah trademark beliau yang cuba untuk membawa penonton kembali kepada filem 1979 yang dahulu.

Sipnosis
Sekumpulan saintis di masa hadapan telah mengembara ke angkasa lepas untuk mencari asal usul kewujudan manusia. Sebahagian dari mereka cuba menafikan ajaran agama tentang kewujudan manusia dan nekad untuk membuktikan teori mereka dengan kajian sains.

Dengan sebuah kapal angkasa hebat yang dinamakan Prometheus, mereka meneroka jauh ke hujung galaksi dan menemui sebuah planet misteri, yang kononnya menjadi destinasi untuk jawapan yang mereka cari selama ini.

Namun, benarkah planet misteri itu menyimpan jawapan kepada persoalan mereka?


-cikguRazalina-

No comments:

Post a Comment